HomeBeritaSubsidi elektrik, kewangan haji golongan T20 ditarik

Subsidi elektrik, kewangan haji golongan T20 ditarik

PETALING JAYA: “Golongan T20 tidak akan diberi subsidi elektrik… sama seperti bantuan haji,” demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menjelaskan, golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak lagi menerima manfaat bagi penggunaan elektrik dan bantuan kewangan haji.

Justeru katanya, sistem penyelarasan data – Pangkalan Data Utama (Padu) – yang dijangka siap akhir tahun ini akan mengurus serta menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan layak.

“Kita tidak naikkan kadar elektrik melainkan untuk T20. Saya nak jelaskan di sini untuk T20 saja, iaitu rumah-rumah besar yang tidak akan diberi subsidi elektrik.

“Ini sama seperti bantuan kewangan haji. Kepada B40 kita tambah, tapi bagi T20, tiada akan ada lagi tambahan atau subsidi dari kerajaan, mereka harus (keluar) belanja sepenuhnya kos haji kerana mereka dalam kalangan yang mampu.”

Anwar (PH-Tambun) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berhubung dasar baharu dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi melonjakkan ekonomi negara, berdasarkan keadaan ekonomi dunia.

Anwar berkata, pengecualian itu menjadikan pelaksanaan subsidi lebih bersasar.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi.

Lembaga Tabung Haji pula menetapkan bantuan kewangan haji (Hafis) bagi ibadah haji tahun ini diperuntukkan kepada jemaah muassasah B40 dan M40 yang pertama kali menunaikan haji sahaja.

Bagi jemaah muassasah T20 yang berpendapatan lebih RM15,000 pula akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji.

Author

Pilihan Editor