CYBERJAYA: Isteri kepada pelakon, Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada diuji sekali lagi apabila dilaporkan mengalami keguguran ketika usia kandungannya mencecah 14 minggu, baru-baru ini.
Menurut Shuhada, keguguran itu kemungkinan berlaku berikutan tekanan yang dihadapinya selain menghentikan sementara pengambilan ubat anti depresi.
“Shu nak khabarkan satu berita sedih, Shu mengalami keguguran baru-baru ini atas sebab satu, Allah dah takdirkan Shu tak dapat teruskan kandungan ni.
“Kedua, Shu memang tak dapat nak kawal stres, Shu dah tak makan Shu punya ubat anti depresi. Jadi, salah satu sebab juga la kenapa Shu tak dapat teruskan kandungan Shu.
“Shu alami keguguran ketika usia kandungan 14 minggu. Shu minta doa yang baik-baik, Shu minta nasihat positif daripada korang. Shu harap doa yang baik-baik untuk Shu dan anak-anak,” katanya menerusi satu video.
Tambah Shuhada, tujuan dia memaklumkan berita sedih ini kepada umum kerana enggan membiarkan netizen membuat spekulasi dengan menuduh dia menggugurkan kandungan secara haram.
“Tujuan Shu untuk beritahu berita sedih ini sebab tak nak perkara sama berulang. Sebab saya baru saja dapat berita dituduh Shu sengaja melakukan keguguran secara haram.
“Jadi untuk mengelakkan lagi fitnah, mengelakkan lagi tuduhan yang tak berasas, jadi pendapat daripada ahli keluarga dan peguam, Shu sepakat la untuk mengeluarkan kenyataan khabar berita yang sedih ini.
“Untuk mengelakkan lagi sebarang spekulasi atau pun kecaman dan semua yang negatif,” ujarnya.
Pada 13 April lalu, menerusi laman Instagram miliknya, Shuhada mengesahkan dirinya sedang hamil anak ketiga dengan usia kandungan sudah memasuki 10 minggu.
Untuk rekod, Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)