BARU-BARU ini, MEDIA VARIASI dijemput menghadiri Majlis Tayangan Perdana bagi filem ‘Anwar: The Untold Story’ yang berlangsung di Pavillion, Kuala Lumpur.
Dalam majlis anjuran DMY Creation yang juga pengedar rasmi filem itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyaksikan tayangan perdana filem tersebut.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Pengasas dan Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff.
Secara dasarnya, ‘Anwar: The Untold Story’ merupakan sebuah filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi yang memaparkan kisah benar dialami Anwar sekeluarga dalam perjalanan politik beliau memperjuangkan hak rakyat sekali gus membanteras rasuah di Malaysia.
Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu, turut memaparkan rintangan, caci maki dan penyeksaan yang dialami Anwar sewaktu beliau menyandang jawatan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri dipaparkan dalam filem ini.
Filem ‘Anwar: The Untold Story’ ini membabitkan kos RM10 juta dan akan ditayangkan kepada umum di pawagam seluruh Malaysia mulai 18 Mei ini.
Ulasan Filem Anwar: The Untold Story
Lakonan – Dari segi lakonan, watak Anwar Ibrahim yang diterajui pelakon, Farid Kamil sememangnya pilihan terbaik. Tidak dinafikan, Farid berjaya menjiwai perwatakan Anwar sehingga gaya penampilan, cara percakapan dan lenggok gerak-gerinya seakan-akan membuatkan penonton hampir percaya bahawa Farid itu ‘jelmaan’ Anwar ketika muda.
Begitu juga dengan watak Wan Azizah yang dibintangi pelakon popular dari Indonesia, Acha Septriasa. Meskipun lenggok bahasa yang dibicarakan Acha kelihatan seperti ‘mencuba’ menjadi Wan Azizah agak ‘awkward’, namun tidak dapat disangkalkan bahawa lakonan di sisi Farid selaku isteri yang setia masih ‘menjadi’ dan penonton dapat bayangan betapa tabahnya seorang wanita itu menjalani kehidupan membesarkan anak-anak saat suami diseksa hanya kerana memperjuangkan hak rakyat.
Bagaimanapun, penulis beranggapan bahawa rata-rata rakyat Malaysia pasti akan tertanya-tanya dengan kemunculan beberapa watak yang dibintangi barisan pelakon dari Indonesia kerana boleh dikatakan, 90 peratus pelakon dalam filem ini diterajui aktor dari negara seberang.
Secara tidak langsung, gaya percakapan sebilangan watak dalam filem ini kelihatan sedikit ‘annoying’ dek kerana mereka cuba berbicara seakan orang Malaysia dengan bahasa baku yang jarang-jarang digunakan rakyat di negara ini.
Storyline – Dari aspek jalan penceritaan pula, filem ini seolah-olah tanda permulaan sebenar perjuangan Anwar dalam membanteras amalan rasuah di Malaysia. Meskipun terdapat babak penyeksaan Anwar di penjara, namun ia masih dalam zon ‘playsafe’ kerana pastinya penonton berharap adanya klimaks yang sedikit ‘extreme’ namun semuanya masih tenang-tenang sekali.
Dari segi elemen kebudayaan di Malaysia, masih diterapkan menerusi beberapa babak yang menyaksikan keindahan alam semula jadi di negara ini di samping kepelbagaian kaum yang berbilang bangsa.
Malah, watak Orang Kurang Upaya (OKU) turut diselitkan dalam filem yang berunsurkan ‘vibes’ 90-an ini.
Penulis berpendapat bahawa penonton bakal tersentuh dengan adegan babak pada 10 minit pertama khususnya buat mereka yang sentiasa mengikuti perjalanan karier politik Anwar.
Namun, di pertengahan cerita bukanlah suatu perkara yang mudah untuk seorang anak Malaysia ‘hadam’ dan terus menonton filem ini jika dirinya langsung tidak meminati isu politik di Malaysia. Perkara ini berikutan, terdapat beberapa fakta dan sejarah diterapkan dalam penceritaan filem ini secara ringkas.
Meskipun filem ini fokusnya lebih kepada isu perjuangan politik, namun unsur jalinan mesra persis kisah cinta itu masih ada menerusi babak Anwar dan Wan Azizah yang saling memahami dan mencintai satu sama lain. Bait-bait lagu ‘Azizah’ nyanyian P. Ramlee yang dilantunkan Farid dalam cerita ini turut menonjolkan betapa kuatnya ikatan kasih antara Anwar dan Wan Azizah.
Perubahan drastik yang perlu dilakukan Wan Azizah saat suaminya dimasukkan ke penjara memaparkan bahawa seorang isteri yang taat itu sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga maruah keluarga.
Penghujung cerita pula, penulis sedikit terkejut apabila adegan yang disangkakan berada pada pertengahan cerita itu adalah penutupnya. Namun, masih ada ‘perkara’ yang ingin disampaikan terhadap penonton pada babak akhir itu kerana penulis beranggapan masih ramai lagi yang tidak tahu akan kisah sebenar di sebalik adegan terbabit (maaf tak dapat nak mention adegan seperti mana, penulis tidak mahu spoil mood penonton).
Pengajaran – Boleh dikatakan filem ini dipenuhi banyak pengajaran dan teladan buat penonton. Boleh jadi pengajaran buat seseorang itu mengingati Tuhan meskipun dilanda badai tanpa henti, menjadi isteri yang tabah, berani bersemuka musuh tanpa gentar dan pastinya usaha seiring doa dan tawakal kepada Tuhan itu mendatangkan kekuatan buat diri berdepan dengan rintangan mencabar dalam kehidupan ini.
Konklusi – Secara amnya, filem ini bukanlah sekadar kisah politik semata-mata bahkan ia turut menerapkan kisah kehidupan kekeluargaan, persahabatan, keikhlasan dan integriti seseorang dalam hidup berprinsip.
Filem ‘Anwar: The Untold Story’ pasti menjadi kegemaran buat mereka yang mengikuti isu negara sejak zaman ‘Reformasi’ lagi, dan buat anda yang kurang pendedahan soal politik pula atau mungkin tidak sependapat dengan kefahaman dibawa Anwar, kemungkinan anda akan berasa bosan dan menganggap rata-rata watak dalam filem ini seolah-olah ‘macai’ setia Anwar Ibrahim.
Namun suka atau tidak, filem ini dibikin khas mengikut garis panduan dan kebenaran fakta yang dialami oleh Anwar Ibrahim yang kini sudahpun bergelar Perdana Menteri Malaysia ke-10.