KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki hari ini disyaki terlibat dalam kes memukul seorang pekerja kedai serbaneka hingga cedera di Semenyih, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata, masing-masing yang berusia 31 dan 32 tahun ditahan di Seremban, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor pada 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari.
“Polis turut merampas dua telefon bimbit bagi membantu siasatan. Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya mempunyai satu rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaid berkata, permohonan reman terhadap mereka akan dibuat esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi semalam, dua lelaki berkenaan yang dipercayai dalam keadaan mabuk telah memasuki sebuah kedai serbaneka di Semenyih bagi membeli minuman.
Seorang daripadanya kemudian membawa keluar tiga payung dari premis berkenaan tanpa membuat bayaran yang menyebabkan pekerja premis itu menegur suspek dan berlaku pertengkaran.
Suspek kemudian telah menumbuk muka pekerja lelaki berusia 18 tahun itu sebelum melarikan diri manakala pekerja berkenaan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 7.43 pagi semalam selepas mendapat rawatan di hospital. – BERNAMA