MAKKAH: Perkhidmatan talian ibadat haji secara elektronik (e-Taib) Tabung Haji (TH) menerima kira-kira 1,300 soalan dalam tempoh dua minggu setelah jemaah haji tiba di Tanah Suci bermula 21 Mei lepas.
Pengurus Bimbingan Makkah, Shahrin Awaludin berkata, pertanyaan berhubung larangan ihram, fiqh wanita dan dam antara paling kerap diajukan dalam kalangan jemaah haji.
Beliau berkata, perkhidmatan yang terdapat di aplikasi THhujjaj itu membolehkan pengguna bertanyakan soalan dalam lebih 15 kategori termasuk ibadat haji, umrah, solat, bersuci dan doa.
“Menerusi e-Taib, pengguna akan memilih kategori soalan dan nota serta infografik akan dipaparkan berdasarkan soalan mereka. Jika perlukan maklumat lanjut mereka boleh berbual secara langsung (live chat) dengan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas),” katanya kepada pemberita di sini.
Shahrin berkata, 50 peratus pengguna tidak melanjutkan soalan selepas membaca nota dan infografik yang disediakan, manakala selebihnya telah dijawab pihaknya.
Menurutnya pada masa ini, empat Pihtas yang merupakan guru agama bertugas dalam tiga syif bermula 7 pagi hingga 10 malam, sebelum beroperasi 24 jam dua minggu sebelum wukuf dengan jangkaan lebih 5,000 soalan dikemukakan pada musim haji ini.
Beliau berkata, soalan berkenaan akan dianalisis dan dikemas kini ke dalam buku Soal Jawab Haji, Umrah dan Ziarah serta portal e-Bimbingan TH untuk rujukan jemaah haji pada masa depan. – BERNAMA