MELAKA: Empat lelaki termasuk dua remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh di sini hari ini terhadap pertuduhan merompak dan mencederakan seorang remaja lelaki serta memiliki bahan lucah.
Soh Sun Hung, 20, Yap Kah Seng, 22, dan dua remaja lelaki berusia 17 dan 15 tahun didakwa secara bersama sebagai majikan kepada remaja lelaki berusia 15 tahun itu telah menganiaya mangsa dengan cara mencederakan menggunakan tangan, kaki, tali dan sebatang besi.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya dalam daerah Melaka Tengah antara 8 malam hingga 1 pagi pada 28 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuan penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda maksimum RM20,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, keempat-empat tertuduh didakwa telah merompak dan mencederakan remaja itu  pada masa, lokasi dan tarikh sama. Pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal manakala peguam Joel Chua mewakili keempat-empat tertuduh.
Hakim Mohd Sabri Ismail membenarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 Julai untuk sebutan semula kes.
Di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli, kesemua tertuduh berdepan pertuduhan memiliki bahan-bahan lucah di dalam telefon bimbit masing-masing.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Taman Jati Hang Tuah Jaya, pada  3.45 petang 31 Mei lepas.
Pertuduhan di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM3,500 bagi setiap tertuduh dan tarikh sama ditetapkan untuk sebutan kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin. – BERNAMA