HomeHiburanFaizal Tahir tunai hajat peminat, anjur konsert solo di KL 2 September

Faizal Tahir tunai hajat peminat, anjur konsert solo di KL 2 September

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir bakal muncul dengan konsert, Aku Faizal Tahir: Live in Kuala Lumpur pada 2 September ini.

Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 45, yang berkecimpung hampir 17 tahun dalam industri muzik tanah air, dijadualkan akan membuat konsert solo pertamanya itu di World Trade Centre (WTC).

Katanya, konsert itu bukanlah sekadar mempersembahkan nyanyian semata kepada peminat sebaliknya dia mahu berkongsi perjalanan dan pengalaman dirinya dalam arena muzik sehingga membentuk kehidupannya menjadi lebih baik.

“Konsert ini bukanlah bersifat hiburan semata-mata sebaliknya saya mahu menyampaikan sesuatu yang baik dan positif tentang kehidupan, terutamanya pengalaman sendiri dalam menempuh cabaran dalam industri.

“Saya nak orang pulang dengan rasa mendapat sesuatu yang bermanfaat untuk diri masing-masing dan bukan hanya sekadar untuk berhibur,” katanya dalam sidang media konsert tersebut di sini, pada Selasa.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu ‘Santai’ itu turut menyatakan konsert tersebut turut menjadi hadiah buat para peminatnya yang tak henti-henti berharap Faizal mengadakan konsert.

“Ketika saya mempromosikan lagu terutamanya di media sosial, terlalu banyak komen daripada peminat yang meminta saya untuk membuat konsert solo.

“Pihak pengurusan kumpulkan semua komen itu dan tunjukkan kepada saya,” ujarnya.

Konsert Aku Faizal Tahir: Live in Kuala Lumpur disokong oleh rakan kerjasama seperti Allianz, Altus Prohouse, Faithful Records, JioSpace, WTC, Level Up dan YCG.

Faizal dijadual akan mempersembahkan 23 lagu termasuk lagu-lagu medley daripada album-albumnya yang hits seperti Mahakarya Cinta, Sampai Syurga, Assalamualaikum, Ragaman dan banyak lagi.

Jualan tiket dibuka mulai hari ini dengan harga RM488, RM588 dan RM688 dan peminat boleh membuat pembelian tiket di www.jiotix.asia atau hubungi talian hotline di 01151003111 (WhatsApp sahaja).

Author

Pilihan Editor