SHAH ALAM: Soal penggunaan kalimah Allah akan dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos depan, sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober nanti.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah ia selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.
Titah Sultan Sharafuddin cadangan itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini bagi menyembah taklimat berhubung keputusan kerajaan Malaysia yang menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland Iawan Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan sebelum ini.
“Dalam perbincangan tersebut, Beta selaku Pengerusi MKI telah menyuarakan pandangan yang juga dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa perkara itu perlu dibawa terlebih dahulu kepada MKI untuk dibincangkan.
“Beta percaya pandangan MKI adalah penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia,” titah Sultan Selangor dalam kenyataan di sini hari ini.
Titah baginda memandangkan perkara itu melibatkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini, perlu dimuktamadkan dengan segera oleh pihak kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.
Pada masa sama, Sultan Selangor turut menitahkan semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad berhubung isu itu.
Perkara itu, adalah untuk memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi negara ini.
“Beta juga menyeru agar semua pihak menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam.
“Penyelesaian bagi isu ini hendaklah dibuat dengan berhati-hati dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan agama Islam sebagai agama Persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain untuk menganut dan mengamalkan agama selain agama Islam dengan aman,” titah baginda. – BERNAMA