PELAKON, Dini atau nama sebenarnya, Muhamad Dini bin Azan Schatzmann, 29, sah bergelar suami kepada Janna Nick atau nama sebenarnya, Nurul Jannah binti Muner, 28, tepat pukul 8.35 pagi di Masjid Aisyah, Langkawi.
Dengan sekali lafaz, Dini dan Janna dinikahkan oleh bapa Janna sendiri, Muner bin Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Othman Yahya serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri.
Dini menyerahkan mas kahwin berjumlah RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.
Difahamkan, jumlah mas kahwin itu adalah simbolik tarikh perkenalan mereka pada 27 Mac 2019.
Menurut Dini, dia amat teruja untuk memulakan fasa baharu sebagai seorang suami.
“Alhamdulillah, rasa terpaling bahagia, maksimum. Rasa lega jua, majlis pernikahan ini sudah selesai dan berjalan lancar. Maka bermulalah perjalanan baharu kami sebagai suami isteri.
“Kami memang merancang perkahwinan yang bersifat peribadi dan privasi. Lebih bermakna untuk keluarga kami.
“This is a once in a lifetime moment in our life. Kami mahu jadikan majlis ini sesuatu yang indah sebagai memori kami berdua,” ujar Dini seperti dilapor Utusan.
Dalam pada itu, Janna turut berkongsi perasaan gementar dan risau untuk melangkah ke alam perkahwinan.
“Ini adalah satu fasa dan langkah terbesar sepanjang 28 tahun usia saya. Mengubah status daripada single ke isteri dan insya-Allah, seorang ibu.
“Saya juga mahukan satu majlis yang lebih dekat dengan saya sebagai Nurul Jannah. Meraikan fasa baharu saya bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan,” katanya.
Majlis serba indah itu turut dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli tersebut.
Pasangan tersebut seterusnya diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung di sebuah resort terkemuka di Langkawi.