KUANTAN: Kes demam denggi di Pahang menunjukkan peningkatan 130 peratus dalam tempoh hampir enam bulan pertama tahun ini, kata Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.
Beliau berkata, setakat 17 Jun lepas, sebanyak 550 kes demam denggi direkodkan berbanding 239 kes dalam tempoh sama pada 2022.
Daerah Kuantan merekodkan kes tertinggi iaitu 320 kes diikuti Temerloh (41), Bera (36), Raub (35), Bentong (28), Maran (22), Rompin (22), Lipis (16), Pekan (14), Jerantut (11) dan Cameron Highlands (5).
Bagaimanapun tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.
“Sehingga 17 Jun lepas, terdapat 41 lokaliti wabak demam denggi dilaporkan berbanding 29 lokaliti dalam tempoh sama pada 2022, dengan 39 daripadanya di Kuantan manakala masing-masing satu di Raub dan Temerloh.
“Terkini sebanyak 39 lokaliti wabak telah tamat fasa kawalan dan pemantauan wabak manakala dua lokaliti wabak masih aktif iaitu di Taman Cenderawasih Indah dan Taman Pandan Perdana 1, kedua-duanya di Kuantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, untuk tempoh sama, pihaknya telah memeriksa 262,155 premis dengan 167,476 daripadanya diletakkan bahan pembunuh jentik-jentik.
Sebanyak 2,043 premis pula ditemukan pembiakan nyamuk Aedes dengan 476 premis dikompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000, melibatkan nilaian kompaun RM238,000.
Sebanyak 384 notis di bawah Seksyen 8 akta sama pula dikeluarkan kepada penduduk yang mempunyai tempat-tempat berpotensi pembiakan jentik-jentik Aedes. – BERNAMA