HomeHiburanKonsert perdana Kunto Aji di Zepp KL 4 Ogos

Konsert perdana Kunto Aji di Zepp KL 4 Ogos

CYBERJAYA: Penyanyi Indonesia, Kunto Aji sekali lagi tampil ke Malaysia bagi mengadakan konsert di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Ogos ini.

Konsert dibawakan oleh Shiraz Projects di bawah payung “Nusafest Presents itu akan mengubat rindu para peminat di Malaysia yang hampir kecewa dek kerana nama Kunto Aji ‘digugurkan’ dalam senarai Nusafest yang dijadual berlangsung pada 8 dan 9 Julai.

Ketua Pegawai Eskekutif, Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya sangat bersyukur dan teruja dengan sokongan yang diberikan oleh para peminat terhadap kemunculan Kunto Aji yang pertama dahulu.

“Untuk kemunculan kedua, kami dengan bangganya mempersembahkan Kunto Aji yang kami rasakan sangat sesuai beraksi di Zepp Kuala Lumpur.

“Muzik Kunto Aji yang berkualiti dan melodinya pastinya akan membuat ‘pecah’ suasana Zepp.

“Inilah masanya untuk peminat yang terlepas menonton Kunto Aji kerana faktor kapasiti lokasi, untuk sama-sama menghayati dan menyanyi lagu-lagu tulisan dan nyanyiannya yang menjadi mantera untuk sama ada merawat emosi atau melayan lara di dalam dada.

“Kali kedua beraksi di Malaysia, inilah masanya yang tidak patut dilepaskan untuk sama-sama berada dalam sejarah Kunto Aji di Zepp Kuala Lumpur pula,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tiket-tiket prajualan untuk pemegang tiket Nusafest boleh diperolehi mulai 19 Jun ini di www.myticket.asia manakala penjualan tiket umum akan berlangsung pada 20 Jun 2023.

Harga tiket bermula dari RM225 (Platinum – Standing), RM 275 (Diamond – Standing), RM275 (Silver – Seated), RM325 (Gold – Premium seats) dan RM600 (Meet & Greet).

Untuk rekod, jualan tiket konsert pertama Kunto di Malaysia ‘licin’ dalam masa 30 minit dek kerana muziknya menjadi kegilaan ramai peminat di Malaysia dan Indonesia.

Kunto Aji yang pernah muncul dengan album Generation Y (2015) dan Mantra Mantra (2018) akan membawakan lagu-lagu hitsnya seperti Pilu Membiru yang dianggap sebagai sebuah lagu ‘stage of grief’ (tahap kesedihan) seperti yang tertulis dalam ilmu psikologi.

Lelaki yang pernah memenangi anugerah Breakthrough Artist of the Year di Indonesian Choice Awards 2015 dan Anugerah Album Terbaik-Terbaik serta Artis Solo Pria/Wanita Alternatif Terbaik di Anugerah Musik Indonesia 2019 bakal muncul dengan band yang diterbangkan khas dari Indonesia.

Author

Pilihan Editor