IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Perak menerima 31 aduan berkaitan bekalan gula sejak Januari lepas hingga hari ini menerusi Op Manis yang dilaksanakan di seluruh negeri.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, 240 pemeriksaan di seluruh negeri dijalankan sepanjang tempoh itu dan antara daerah yang mencatat aduan yang tertinggi berkaitan bekalan gula adalah daerah Manjung, Taiping dan Gerik.
Beliau berkata, dua kes dikesan iaitu satu kes melibatkan kesalahan tanda harga di sebuah kedai runcit di Parit Buntar, yang mengakibatkan pemilik premis dikenakan kompaun RM200, manakala satu lagi kes berkaitan kesalahan tidak menyelenggara buku stok di Kuala Kangsar, dan kes masih dalam siasatan.
“KPDN Perak juga telah mengadakan libat urus dan memastikan 121 Pemborong Terpilih Daerah dan 295 Peruncit Terpilih Daerah mempunyai bekalan stok barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung yang mencukupi di setiap daerah.
“Berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh 176 Pegawai Penguat Kuasa dan 70 Pegawai Pemantau Harga ke atas premis perniagaan seperti pasar, kedai runcit dan pasaraya mendapati bekalan barang keperluan adalah mudah diperolehi dan mencukupi,” katanya pada sidang media pada Program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDN Perak di sini hari ini.
Sementara itu Kamalludin berkata, pihaknya telah melupuskan 2,845 unit barangan seperti kasut wanita, kasut kanak-kanak, pelekat jenama dan plastik beg yang menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah bernilai RM87,979 hari ini.
“Barangan ini adalah hasil tindakan operasi yang dijalankan oleh KPDNÂ Perak yang membanteras pengedaran dan penjualan barang tiruan di sebuah pusat beli belah di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada 16 Jun tahun lepas,” katanya.
Beliau nilai pelupusan terkumpul sejak Januari sehingga kini adalah RM1,369,061.79 melibatkan 45 kes pelupusan barangan seperti kenderaan, pakaian, baja dan komputer.
“Untuk rekod, data pelupusan ekshibit sepanjang tahun lepas berjumlah RM1,164,324.35 melibatkan 79 kes seperti kenderaan, pakaian, minyak diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan alat ganti kenderaan. – BERNAMA