HomeBeritaViralNaluri ibu! Taktik remaja pura-pura tak tahu lepas buang bayi terkantoi

Naluri ibu! Taktik remaja pura-pura tak tahu lepas buang bayi terkantoi

 

CYBERJAYA: Taktik seorang remaja perempuan yang mahu membuang anak yang dilahirkannya di belakang rumah keluarganya di Kampung Geting, Tumpat, Kelantan, awal pagi tadi akhirnya terkantoi jua.

Remaja berusia 18 tahun itu pada awalnya berpura-pura tidak mengetahui kejadian tersebut apabila memaklumkan kepada ibunya bahawa dia menjumpai bayi perempuan tertiarap di atas tanah di belakang rumah.

Ibu remaja terbabit yang dikenali dengan panggilan Lina, 37, berkata, dia tiada di rumah pagi tadi apabila keluar bekerja sebagai tukang masak di sebuah premis nasi berlauk tidak jauh dari rumahnya.

Katanya, anak perempuannya itu menghubunginya kira-kira pukul 9.30 pagi untuk memberitahu akan berita penemuan bayi terbabit.

“Saya terus menghubungi suami sebelum bergegas pulang ke rumah dan mendapati anak saya berada dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika itu, saya melihat seorang bayi yang sudah putus tali pusatnya berada dalam keadaan kebiruan sedang dipangku oleh penduduk kampung,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Bagaimanapun, naluri seorang ibu membuatkan Lina mengesyaki bahawa anaknya yang melahirkan bayi itu, namun remaja terbabit pada awalnya tidak mengaku.

Katanya, selepas didesak dengan pelbagai soalan, anaknya itu akhirnya mengaku dia yang melahirkan bayi tersebut sebelum menunjukkan lokasi uri yang ditanam di belakang rumahnya.

“Apabila masuk ke dalam biliknya, saya dapati ada kesan darah pada tilam yang sudah dibasuh manakala kain yang digunakan untuk melahirkan bayi sudah direndam di dalam besen.

“Saya tidak mengesyaki dia mengandung kerana fizikalnya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sejak tinggal bersama saya pada April lalu. Difahamkan, anak saya mempunyai teman lelaki malah saya pernah menyuruhnya berkahwin, tetapi dia enggan,” katanya.

Menurut Lina, dia juga hairan apabila anaknya itu bangun tidur awal kira-kira pukul 1 pagi  dan mengadu lapar sebelum dia memasak makanan kepada remaja itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima panggilan telefon yang memaklumkan berhubung penemuan bayi tersebut.

Maklumnya, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi penemuan bayi itu untuk menjalankan siasatan.

Author

Pilihan Editor