JOHOR BAHRU: Nombor pendaftaran kenderaan bagi siri Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu ‘FF 1’ adalah milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim hari ini berserta beberapa foto mengenainya turut dikongsi di platform media sosial itu.
Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini.
Pada pertemuan itu, Loke turut mempersembahkan secara simbolik nombor plat kenderaan berkenaan kepada Sultan Ibrahim, yang membida dengan tawaran tertinggi.
Sebelum ini, media melaporkan bidaan nombor pendaftaran kenderaan bagi siri ‘FF’ mencatatkan hasil kutipan tertinggi dalam sejarah sistem bidaan JPJeBid dengan kutipan berjumlah RM34.3 juta. – BERNAMA