HomeBeritaPekemas gesa Mahkamah Koroner siasat kematian sekutu Jho Low

Pekemas gesa Mahkamah Koroner siasat kematian sekutu Jho Low

CYBERJAYA: Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) menggesa satu inkues oleh Mahkamah Koroner diadakan bagi menyiasat kematian Kee Kok Thiam, yang dikatakan sekutu Low Taek Jho (Jho Low) dan suspek kes 1MDB.

Presiden Pekemas, Farizan Mohd Noor berkata, Mahkamah Koroner adalah satu-satunya badan yang dipertanggungjawabkan oleh undang-undang bagi menyiasat kes kematian seperti yang dinyatakan di dalam Kanun Tatacara Jenayah terutama bagi kes kes yang berprofil tinggi seperti kes 1MDB.

“Rakyat ingin tahu bagaimana saksi penting dalam kes 1MDB dan satu satunya saksi yang mengetahui dimana Low berada meninggal dunia sebulan selepas di bawa pulang ke Malaysia selepas lima tahun menyembunyikan diri di luar negara.

“Pekemas menegaskan dengan rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak beberapa baik dengan beberapa kematian saksi seperti dalam kes berprofil tinggi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Pekemas berpendapat adalah lebih baik Mahkamah Koroner menyiasat kematian Kee dan satu panel pakar-pakar forensik bebas dilantik untuk melakukan bedah siasat keatas jenazah Kee,” katanya dalam satu kenyataan media.

Malah, beliau turut menyifatkan kesemua kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tidak meyakinkan rakyat mengenai punca kematian Kee yang merupakan saksi penting menjejak dan membawa Low pulang ke Malaysia.

Beliau turut menegaskan Kee disyaki telah menggelapkan wang daripada 1MDB dan SRC International, melalui akaun syarikat bernama Wright Shaw Limited.

“Rakyat juga ingin mengetahui mengenai perkembangan kes Kee disyaki telah menggelapkan wang daripada 1MDB dan SRC International, melalui akaun sebuah syarikat bernama Wright Shaw Limited,” katanya.

Februari lalu, bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Kee adalah antara orang yang mendepositkan wang untuk memastikan akaun perdana menteri ketika itu Najib Razak ditambah dan menghalang ceknya daripada ditolak.

Kee dilaporkan dihantar pulang dari Macau pada 3 Mei kerana tinggal melebihi tarikh visanya, dan diarahkan untuk hadir ke ibu pejabat SPRM pada hari yang sama.

Media sebelum ini turut melaporkan, Kee berada di luar negara selama lima tahun namun kemudiannya ditangkap dan rumahnya digeledah, tetapi dibebaskan tanpa tuduhan terhadapnya.

Author

Pilihan Editor