HomeBeritaPemecatan CEO FINAS: Ada pihak jatuhkan saya - Md Nasir

Pemecatan CEO FINAS: Ada pihak jatuhkan saya – Md Nasir

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim menganggap pemecatan dirinya secara notis 24 jam tanpa alasan itu dilakukan dengan motif menjatuhkannya.

Md Nasir juga tidak menafikan wujud campur tangan politik serta unsur kroni dalam perbadanan tersebut.

Ia susulan penamatan kontrak lebih awal secara tiba-tiba yang biasanya dibuat kerana kesalahan jenayah atau membabitkan isu integriti.

“Hari ini saya mahu membersihkan nama saya yang dipecat secara tiba-tiba sedangkan penamatan kontrak ini adalah bukan kerana salah laku, supaya tidak menimbulkan fitnah.

“Sebenarnya saya terkejut apabila menerima notis penamatan kontrak itu daripada Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Ahmad Mohd Othman, ” katanya pada sidang media pada Khamis.

Beliau mendakwa dirinya dizalimi dan tidak menolak wujud unsur kroni dalam pentadbiran FINAS yang berbeza pendapat dengannya.

“Perkara ini memang tidak bagus, namun berlaku dalam mana-mana organisasi kerana ada manusia susah untuk terima teguran.

“Sepanjang setahun tujuh bulan berkhidmat, pelbagai usaha menyeluruh dilaksanakan terutama menerusi penstrukturan operasi perbadanan demi kepentingan industri perfileman.

“Saya telah bekerja tanpa had waktu dan hari demi memastikan industri perfileman negara
kita dapat dipulihkan, khususnya selepas negara kita dilanda wabak COVID-19, ” katanya.

Semalam, tular sebuah dokumen penamatan perkhidmatan Md Nasir bertarikh 31 Mei 2023 yang ditandatangani Pengerusi Finas yang turut mendapat kelulusan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada 5 Mei lalu.

Md Nasir dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS pada 31 Oktober 2021 dalam tempoh dua tahun yang berkuat kuasa bermula 1 November, tahun itu sehingga 30 Oktober 2023.

Pelantikannya menggantikan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang sebelum ini menyandang jawatan tersebut selepas kontraknya tamat pada 15 Oktober 2021.

Author

Pilihan Editor