BATU KAWAN: Polis menyita 44 motosikal dan mengeluarkan 128 saman atas pelbagai kesalahan menerusi Op Samseng Jalanan di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata operasi bermula 6 petang itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPS dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.
“Operasi dilakukan susulan aduan terdapat geng mat rempit mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan tersebut.
“Semua penunggang motosikal terbabit yang berusia antara 17 hingga 26 tahun dibawa ke IPD SPS untuk dokumentasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau sehubungan itu menasihatkan semua penunggang motosikal supaya tidak berkumpul sehingga boleh menyebabkan berlakunya gangguan terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain. – BERNAMA