ALOR SETAR: Polis mengingatkan semua pihak supaya tidak menyentuh aspek ‘3R’ iaitu Agama (Religion), Raja (Royal) dan Kaum (Race) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata tindakan sedemikian akan dipantau Pasukan Khas 3R yang telah ditubuhkan sejak Mac lepas.
“Sekiranya ada pihak dikenal pasti menyentuh isu itu (3R) dan ia didokumenkan termasuk dalam bentuk video, pihak polis akan membuka kertas siasatan.
“Semua pihak perlu memainkan peranan memastikan keamanan negeri dan negara terpelihara dan tidak menyentuh isu-isu sensitif,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Selain Kedah, lima lagi negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan dan Terengganu turut akan berdepan dengan PRN.
Fisol turut meminta pihak yang ingin mengadakan perhimpunan sempena PRN membuat permohonan terlebih dahulu supaya pihak polis dapat mengawal keadaan di lokasi serta menjamin keselamatan orang ramai. – BERNAMA