BALING: Sejumlah 17 keluarga di Kampung Iboi yang rumah mereka berada di Zon Kuning di kawasan pinggir sungai bakal dipindahkan ke penempatan baharu tidak lama lagi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses pengambilan tanah membabitkan kos sebanyak RM600,000, bagi tujuan pembinaan rumah di Kampung Bok Bak dekat sini, telah pun selesai.
“Kerajaan negeri telah melunaskan janji kepada penduduk yang terkesan akibat banjir aliran puing di Kampung Iboi, yang mana kesemua 12 keluarga yang rumah mereka musnah telah menerima rumah baharu hari ini.
Bagi Fasa Dua membabitkan 17 keluarga lagi…sikit masa lagi mereka juga akan turut dipindahkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Geran Tanah kepada 12 keluarga mangsa banjir aliran puing Kampung Iboi di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Kampung Sadek, Kupang dekat sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, reka bentuk rumah yang bakal dibina itu sama seperti 12 buah rumah yang telah siap di KEDA Kampung Sadek namun kos pembinaannya dijangka lebih rendah.
“Kos keseluruhan bagi Fasa Pertama ialah sebanyak RM2.1 juta…bagi Fasa Kedua, reka bentuknya sama cuma berbeza dari segi penyediaan infrastruktur…pengambilan tanah di bawah kerajaan negeri sudah siap…manakala dari segi infrastruktur dan bangunan di bawah JKR (Jabatan Kerja Raya).
Ia mengambil masa sembilan bulan untuk menyiapkan rumah Fasa Pertama yang berkeluasan 750 kaki persegi (70 meter persegi) ini…ia terlewat dari jadual sepatutnya disebabkan pembinaan infrastruktur,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa banjir yang menerima rumah berkenaan, Abdul Rahman Said, 71, berkata dia sangat gembira dan bersyukur menerima kunci dan geran tanah daripada kerajaan negeri setelah hampir setahun menunggu.
“Terima kasih kepada Menteri Besar dan juga agensi berkaitan yang banyak membantu mangsa banjir puing tahun lalu sehingga mendapat rumah baharu ini.
Alhamdulillah, kami dapat berpindah sebelum Aidiladha, dapatlah saya menyambut hari raya di sini nanti, jika boleh esok saya sudah mahu berpindah ke sini,” katanya yang kehilangan isteri, seorang anak serta menantu dalam tragedi 4 Julai tahun lepas.
Seorang lagi penerima, pesara tentera, Azizan Mat Isa, 50, berkata, dia bersama anak-anak dan isteri akan berpindah segera di rumah baharu itu bagi membuat persediaan menyambut Aidiladha.
“Saya rasa sedih dengan apa yang berlaku tapi saya tetap bersyukur dapat rumah baharu, sebelum ini saya habiskan wang pencen saya untuk buat rumah baharu di Kampung Iboi, tapi rezeki saya hanya dapat tinggal selama 10 tahun sebelum ia musnah akibat banjir puing.
Sekarang ini saya hanya bekerja di kampung dengan mengambil upah membuat rumah, syukur Alhamdulillah kerana kerajaan banyak membantu kami,” katanya.
Dalam kejadian 4 Julai tahun lepas, tiga sekeluarga termasuklah seorang warga emas yang lumpuh dan seorang ibu hamil empat bulan, maut selepas rumah didiami mereka dihanyutkan air dalam bencana aliran puing. – BERNAMA