HomeGaya HidupSeni bina Masjid Iktikaf di Kota Bharu raih perhatian, guna 11 kayu...

Seni bina Masjid Iktikaf di Kota Bharu raih perhatian, guna 11 kayu hutan tanpa pelan

KOTA BHARU: Masjid Iktikaf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah yang terletak di Pasir Tumboh nyata menarik perhatian umum kerana seni bina yang memukau.

Kunjungan para pengamal media bagi program Xpresi Media: Kelantan anjuran Tourism Malaysia, baru-baru ini di Masjid Iktikaf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah

Mana tidaknya, ukiran masjid yang diperbuat menggunakan 100 peratus kayu hutan daripada 11 jenis kayu seperti tembesu, jembal, jati, mahagoni, manggis dan banyak lagi itu dibina dengan penuh teliti dan kemas.

Pengerusi dan Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah, Mohd Fikri Mohd Kasim

Menurut Pengerusi dan Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah, Mohd Fikri Mohd Kasim, pemilihan jenis kayu hutan yang digunakan itu amat penting bagi memastikan masjid berkenaan dibina dengan kukuh dan tahan lama.

Katanya, antara fakta yang menarik mengenai masjid tersebut adalah pembinaannya dilaksanakan oleh seorang tukang perabot profesional yang juga sahabatnya, Mohd Amin Jusoh.

Jelasnya sewaktu proses pembinaan, Mohd Amin tidak menggunakan sebarang pelan binaan khusus akan tetapi bergantung sepenuhnya kepada ilham semata-mata.

“Uniknya masjid ini dibina tidak menggunakan pelan, sebaliknya ia dibina menggunakan ilham yang datang dari sahabat saya sendiri.

“Kebiasaannya, Mohd Amin bina masjid ini berseorangan dan proses pembinaan itu dibuat secara berperingkat dari tengah malam sehinggalah jam 5 pagi kerana pada waktu itu Allah SWT mendatangkan ilham kepadanya,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Maklum Mohd Fikri, masjid yang dibina pada Julai tahun lalu itu boleh memuatkan hampir 200 orang pada satu-satu masa.

Turut disediakan ruang solat wanita

“Ruang solat masjid ini mampu memuatkan hingga 120 jemaah selain ruang selasar atau serambi (ruang terbuka) di tingkat bawah pula boleh memuatkan hingga 100 jemaah dan menjadikan keseluruhan masjid dua tingkat ini mampu memuatkan sekitar 200 jemaah pada satu-satu masa,” ujarnya.

Hampir 20 orang pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah menjadikan Masjid Iktikaf ini sebagai tempat menghafaz al-Quran.

Pada masa sama, Masjid Iktikaf tersebut turut menjadi pusat pengajian bagi anak-anak tahfiz menghafaz al-Quran yang berusia lingkungan 10 ke 16 tahun.

Dalam pada itu, orang ramai turut dijemput hadir menunaikan solat berjemaah lima waktu di masjid berkenaan serta bagi mereka yang bukan muslim atau mahu berfoto, boleh menziarahi Masjid Iktikaf itu selepas waktu solat Asar.

Alamat: Maahad Tahfiz Al Quran Darul Quwwah
Lot 229, Jalan Ehsan, Pasir Tumboh
16400 Kota Bharu, Kelantan

Author

Pilihan Editor