CYBERJAYA: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal melancarkan album solo berjudul ‘Sitism’ pada 30 Jun ini.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 44, mengatakan album solo ke-20 itu adalah hadiah buat peminat yang setia menyokong dirinya selama 28 tahun dalam industri muzik.
“Tak sabar menantikan album terbaharu saya di platform digital pada 30 Jun 2023.
“Buah tangan istimewa daripada saya, Sitism,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Jumaat.
Mengupas maksud di sebalik nama Sitism, Siti menyatakan bahawa nama itu membawa maksud kewibawaannya dalam berkarya selaku seorang penghibur.
“Siti diambil daripada nama Siti Nurhaliza manakala imbuhan ‘ism’ adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan serta ideologi.
“Sitism atau Siti-ism mewakili ciri khas dan kualiti yang terdapat dalam suara, karya, persembahan dan penampilan Siti Nurhaliza di dalam album terbaharu ini,” jelasnya.