JELI: Seramai 16 wakil media terdiri daripada agensi media cetak, elektronik dan media baharu menyertai program Xpresi Cuti-Cuti Malaysia: Kelantan anjuran Tourism Malaysia.
Program yang berlangsung selama empat hari itu membuka peluang kepada para peserta meneroka produk-produk pelancongan berasaskan alam semula jadi, pengembaraan dan pengalaman di negeri tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia , Datuk Musa Yusof berkata, program itu bertujuan memperkenalkan keunikan negeri Kelantan sekali gus meningkatkan lagi ketibaan pelancong serta menjana ekonomi untuk komuniti tempatan.
“Melihat kepada trend pelancongan terkini, para pelancong lebih cenderung untuk mendekati dan menerokai produk-produk pelancongan yang berunsurkan alam semula jadi, serta mempraktikkan pelancongan lestari atau sustainable tourism,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penutup Program Xpresi Media Cuti-Cuti Malaysia di Restoran Laila Majnu, Lalang’s Resort & Spa, disini, semalam.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program Xpresi Cuti-Cuti Malaysia: Kelantan berlangsung seperti pengembaraan di daerah Kota Bharu dengan mempelajari keunikan seni bina Masjid Iktikaf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah yang diperbuat oleh 11 jenis kayu hutan serta melawat kebun anggur pertama di Kelantan iaitu di Po-land Grape Machang.
Di samping itu, para peserta turut berpeluang mendaki Bukit Salor dan menerokai kisah disebalik Gunung Reng disamping menikmati keindahan semula jadi di daerah itu seperti Lata Kashmir, Lata Turbo, Lata Janggut, Lata Hokkaido dan Air Terjun Mawoo.
Malah, para peserta juga berkesempatan mempelajari cara membuat makanan tradisi Kelantan iaitu akok belahat serta merasai masakan popular di Jeli iaitu sambal pepijat dan sup Komunis.