CYBERJAYA: Pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat Diploma di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi Julai 2023 boleh membuat semakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) melalui portal rasmi PTPTN.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataan berkata, WPP berjumlah RM1,500 itu adalah untuk menampung sebahagian perbelanjaan pelajar memasuki IPTA.
“WPP ini diberikan kepada warganegara Malaysia yang memohon melalui ‘UPUOnline’ atau portal kemasukan IPTA, ibu bapa atau penjaga pelajar menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.
“Pelajar boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 18 Julai 2023 dengan membawa surat tawaran WPP MyKad pelajar,” katanya hari ini.
Jelasnya, wakil tidak dibenarkan untuk menuntut WPP serta tempoh sah laku WPP dalam tempoh dua bulan bermula 18 Julai ini sehingga 18 September 2023.
PTPTN telah menyediakan peruntukan sebanyak RM64.42 juta kepada 42,946 pelajar yang berjaya memasuki IPTA peringkat Diploma.
“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA sekali gus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan,” ujarnya.
Tambahnya, pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA.
“Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Maklumat lanjut berkenaan WPP dan pinjaman PTPTN boleh diperoleh melalui portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN.