AHLI Parlimen New Hampshire transgender pertama yang dipilih secara terbuka menghadapi pertuduhan jenayah kerana didakwa bersubahat dengan bekas teman wanitanya untuk mengumpulkan gambar kelucahan melampau kanak-kanak, umum pendakwa raya persekutuan minggu ini.
“Stacie Marie Laughton, 39, dari Nashua, N.H., didakwa atas satu pertuduhan eksploitasi seksual kanak-kanak – dan membantu serta bersubahat. Laughton akan hadir di mahkamah persekutuan di Boston pada masa akan datang,” kata pejabat Peguam Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan pada Selasa.
Laughton ditahan selepas siasatan forensik mendedahkan lebih 10,000 mesej teks yang dikongsi dengan bekas pasangannya, Lindsay Groves, bekas pekerja taska, yang termasuk imej kelucahan melampau kanak-kanak yang kelihatan berumur antara tiga dan lima tahun, serta penerangan seks yang melampau antara satu sama lain dan kanak-kanak.
Groves mengambil imej itu antara Mei dan Jun 2022 semasa bekerja di jagaan harian Creative Minds di Tyngsborough, Massachusetts. Dia ditangkap dan didakwa atas tuduhan mengedar pornografi kanak-kanak dan eksploitasi seksual kanak-kanak pada bulan lepas. Hukuman bagi jenayah itu ialah penjara sehingga 30 tahun.
Stacie-Marie Laughton ialah ahli Parti Demokrat dan orang transgender pertama yang secara terbuka dipilih ke dewan itu pada 2012. Dia meletakkan jawatannya sebagai wakil negeri sebelum mengambil kerusi itu, selepas media mendedahkan sabitan lalunya kerana penipuan identiti dan bukti palsu. Laughton bertanding semula pada 2020 dan dipilih semula pada 2022, tetapi meletak jawatan pada Disember selepas didakwa mengintai Groves.