HomeBeritaAyob Khan mula tugas Timbalan Ketua Polis Negara hari ini

Ayob Khan mula tugas Timbalan Ketua Polis Negara hari ini

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memulakan tugas rasmi di pejabat Timbalan KPN di Bukit Aman, hari ini.

Menerusi kenyataan Facebook PDRM, beliau tiba bersama isteri, Datin Seri Zaleha Mohd Ariffin merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia pada 8 pagi dan diberikan ‘Guard Turn Out’ oleh anggota Cawangan Kem Komandan, Bukit Aman, sebelum kenderaan rasminya berhenti di lobi utama Menara 1.

Ayob Khan kemudiannya disambut oleh Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin bersama barisan Ketua Urus Setia KPN sebelum diiringi ke tingkat 31 yang menempatkan pejabat rasmi KPN dan timbalannya.

Tertib jadual tugas beliau hari ini dimulakan dengan bacaan doa selamat yang berlangsung di Pejabat KPN dipimpin oleh Penolong Pengarah (Psikologi dan Kaunseling) Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, ACP Mohd Zakarim Abdullah @ Zakaria yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Ayob Khan sebelum ini menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan kini dilantik sebagai Timbalan KPN, berkuat kuasa 22 Jun lalu.

Author

Pilihan Editor