TAWAU: Bekas Ketua Perisikan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Senior Asisten Komisioner, Datuk Mat Zaki Md. Zain, 58, hari ini berhadapan pertuduhan kedua iaitu bersubahat membunuh seorang pemandu e-hailing pada 13 Januari lalu.
Mat Zaki didakwa bersubahat dengan seorang anggota polis, John Kennedy Sanggah, 44, untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, antara 7.30 hingga 11.30 malam di kawasan ladang sawit di Batu 5, Jalan Apas pada 13 Januari lalu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Suhaila Selag di Mahkamah Majistret hari ini, lapor Utusan.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan pihak pendakwaan diwakili Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim memohon kepada mahkamah agar kes Mat Zaki dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah membenarkan permohonan berkenaan.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun.
Pada 8 Februari lalu, Mat Zaki dihadapan ke mahkamah atas pertuduhan bersubahat dengan enam pegawai dan anggota polis termasuk satu orang awam bagi membunuh pemandu e-hailing berkenaan.
Enam anggota itu ialah Rosdi Rastam, 44; Denis Anak Anit, 44; Fabian Anak Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd. Azlan Sakaran, 39; dan orang awam Vivien Fabian, 34.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut membenarkan perbicaraan tujuh pegawai dan anggota polis termasuk satu orang awam dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau bagi pertuduhan sama iaitu membunuh pemandu e-hailing.
Suhaila membuat keputusan itu selepas menerima permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.
Bagi permohonan pertama, pihak pendakwaan diwakili Muhamad Iskandar memohon agar kes membabitkan enam pegawai dan anggota polis termasuk seorang orang awam iaitu Rosdi Rastam, Denis Anak Anit, Fabian Anak Rungam, Khairul Azman Bakar, Mohd. Azlan Sakaran, dan orang awam, Vivien Fabian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Turut dipindahkan kes membabitkan seorang lagi anggota polis, John Kennedy bagi memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi. Kesemua tertuduh mengangguk tanda faham apabila permohonan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.
Pada 8 Februari lalu, Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Mohd. Azlan serta Vivien dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau atas dakwaan membunuh Nurman.
John Kennedy yang pada awalnya menjadi saksi kes tersebut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau pada 11 April bagi pertuduhan membunuh pemandu e-hailing berkenaan bersama enam pegawai dan anggota polis termasuk satu orang awam.