HomeBeritaBela diri Bung Moktar dan Zizie Izette ditangguh lagi

Bela diri Bung Moktar dan Zizie Izette ditangguh lagi

KUALA LUMPUR:  Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Ab. Samad tidak perlu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah buat masa ini selepas tarikh perbicaraan selama sembilan hari yang dijadualkan sebelum ini, ditangguhkan oleh Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini.

Pasangan tersebut sepatutnya mengemukakan keterangan bela diri sepanjang minggu ini bermula hari ini serta 20, 21, 24 dan 25 Julai 2023.

Hakim Rozina Ayob melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan setelah dimaklumkan perkembangan status rayuan berhubung permohonan semakan kedua-dua tertuduh di Mahkamah Rayuan, minggu lalu.

Beliau kemudian menetapkan kes rasuah Bung Moktar dan isteri disebut pada 13 September ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How memberitahu, Mahkamah Rayuan memerintahkan permohonan semakan pasangan suami isteri itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.

Menurut beliau, semakan itu sebelum ini ditolak oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid tanpa mendengar meritnya selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan.

Chin How berkata, tarikh sebutan permohonan itu telah ditetapkan pada Jumaat ini di hadapan hakim yang sama.

Author

Pilihan Editor