CYBERJAYA: CSO Platform for Reform menggesa Hasnal Rezua Merican Habib Merican untuk meletakkan jawatan sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manunsia Malaysia (Suhakam).
Ini susulan UMNO memutuskan untuk memilih beliau bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan depan.
“Pelantikan seorang pemimpin politik ke jawatan penting dalam Suhakam menimbulkan persoalan serius mengenai kebebasan suruhanjaya itu dan keupayaannya berfungsi tanpa sebarang pengaruh luar,” kata CSO Platform dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam kenyataan sama, CSO Platform berkata, tujuan utama Suhakam ditubuhkan adalah untuk menjaga prinsip akauntabiliti dan menghormati hak asasi manusia.
Katanya, kemasukan seorang pemimpin politik dalam Suhakam menimbulkan kebimbangan bahawa fungsi suruhanjaya itu mungkin terjejas.
“Suhakam mestilah bebas daripada sebarang pengaruh politik dan eksekutif. Keberadaan Hasnal yang juga seorang pemimpin politik di Suhakam adalah perkara yang membimbangkan, apatah lagi partinya juga sebahagian daripada Kerajaan Malaysia hari ini.
“Potensi untuk percanggahan kepentingan atau ‘conflict of interest‘ menimbulkan kebimbangan yang lebih mendalam. Justeru, kami juga ingin menekankan keperluan untuk penelitian terhadap pelantikan pesuruhjaya baharu yang dibuat tahun lalu,” katanya.
Menurut CSO Platform, pemimpin politik tidak sepatutnya dilantik ke pejabat Pesuruhjaya bagi memastikan kebebasan Suhakam.
Justeru, badan itu menyeru Hasnal menegakkan integriti Suhakam dengan segera meletakkan jawatan sebagai Pesuruhjaya.
Langkah sedemikian katanya, penting untuk melindungi kebebasan dan kredibiliti suruhanjaya itu dan untuk menunjukkan komitmen terhadap promosi dan perlindungan hak asasi manusia tanpa sebarang kemungkinan kepada percanggahan kepentingan.