HomeSukanBojan berdepan cabaran besar di kelab Liga Indonesia

Bojan berdepan cabaran besar di kelab Liga Indonesia

KUALA LUMPUR: Bojan Hodak mengakui bahawa beliau bakal berdepan dengan cabaran besar, apabila menerima tanggungjawab sebagai pengendali kelab Liga Indonesia, Persib Bandung FC tidak lama lagi.

Apatah lagi, pengendali berpengalaman itu berkata, kelab tersebut mempunyai seramai tujuh juta penyokong selain tersenarai sebagai salah satu kelab terbesar di Asia Tenggara.

“Pemain perlu sentiasa bertarung untuk mendapatkan piala. Ini menyebabkan banyak tekanan. Tetapi sekurang-kurangnya saya boleh buat sesuatu lebih baik.

“Saya juga percaya penyokong akan memberi sokongan padu,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.

Pada Rabu, Bojan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KL City) FC.

Ini disebabkan beliau sudah pun menerima tawaran untuk menerajui Persib Bandung FC bagi menggantikan pengendali terdahulu, Luis Milla.

Kehilangan Bojan di KL City bagaimanapun bakal diisi oleh Nenad Bacina yang bakal mengambil alih posisinya.

Mengulas lanjut, pemain kelahiran Croatia itu berkata, beliau sudah lama menerima tawaran untuk menyertai Persib Bandung FC.

Namun, katanya, niat itu terbantut seketika selepas mengetahui KL City layak ke pusingan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya tunggu sehingga Piala FA tamat. Meskipun keputusan ini (peletakan jawatan) dibuat secara mendadak, tetapi Nenad memahami situasi tersebut dan dia datang kepada saya untuk menawarkan diri sebagai ketua jurulatih KL City.

“Adakalanya kita memerlukan muka baharu dan lebih segar, serta tenaga baharu. Dia (Nenad) akan teruskan (perjuangan bersama KL City) dan semuanya akan baik-baik sahaja untuk KL City,” katanya.

Untuk rekod, Bojan yang juga bekas jurulatih Kelantan FC itu telah bersama The City Boys sejak tahun 2021 dan mengecapi banyak kejayaan, termasuk mara ke pentas akhir Piala AFC tahun lalu.

Beliau juga telah membawa KL City menjulang Piala Malaysia pada 2021 apabila menewaskan JDT.

Satu lagi detik manis yang dicatatkan olehnya apabila membantu pasukan untuk mara ke pentas akhir Piala FA baru-baru ini.

Author

Pilihan Editor