HomeBeritaDalang sudah dihukum, keadilan mangsa MH17 tetap dicari

Dalang sudah dihukum, keadilan mangsa MH17 tetap dicari

KEADILAN tetap akan dicari buat mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MH17), meskipun hukuman ke atas tiga suspek yang menjadi dalang telah dilaksanakan oleh Mahkamah The Hague di Belanda, November lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada 17 Mac 2023 telah memutuskan untuk meneruskan perbicaraan mengenai perbezaan antara pihak yang berkonflik.

“Ia penting dalam memastikan kebenaran dapat didedahkan serta memberi keadilan kepada semua mangsa dan waris termasuk 43 rakyat Malaysia yang berada dalam pesawat MH17,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian sempena ulang tahun kesembilan bagi memperingati kemalangan tragis itu.

Pada Julai 2014, pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh oleh misil anti pesawat Buk di ruang udara timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan meragut nyawa kesemua 298 penumpang.

Namun begitu, pada 18 November 2022, Ketua panel hakim, Hendrik Steenhuis mensabitkan kesalahan terhadap tiga tertuduh iaitu dua rakyat Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko atas dakwaan membunuh dan sengaja menyebabkan nahas pesawat tersebut.

Author

Pilihan Editor