HomeGlobal‘K-pop International High School’ pertama akan dibuka di Singapura

‘K-pop International High School’ pertama akan dibuka di Singapura

CYBERJAYA: Khabar gembira buat para peminat bintang dari Korea Selatan, sebuah sekolah antarabangsa K-pop yang pertama akan dibuka di Singapura!

Sekolah antarabangsa K-pop itu adalah hasil kerjasama antara Singapore Raffles Music College (SRMC) dan School of Performing Arts Seoul (Sopa) yang berprestij, lapor The Straits Times.

Malah, memorandum persefahaman membabitkan kedua-dua organisasi itu turut ditandatangani di Seoul, Korea Selatan, bagi pembukaan Sopa-SRMC yang akan menerima pengambilan pelajar dari Asia Tenggara khususnya dari Singapura.

Menariknya, sekolah tersebut akan menawarkan pendidikan berasaskan elemen K-pop di Korea Selatan.

Bagaimanapun, butiran mengenai pengambilan pelajar baru masih belum didedahkan.

Pengetua Sopa, Hosung Lim berkata, pihaknya berazam untuk meningkatkan reputasi Sopa sebagai institusi pendidikan yang boleh dicontohi bukan sahaja di Korea Selatan, malah di luar negara sebagai institusi pendidikan yang mengkhususkan diri dalam K-pop.

Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa sekolah antarabangsa K-pop itu akan dikendalikan kakitangan Sopa dalam Bahasa Inggeris dengan menyatupadukan sistem pendidikan daripada Korea Selatan dan Singapura.

Sementara itu, Pengarah eksekutif SRMC, Ryan Goh berkata, kolaborasi bagi pembukaan sekolah antarabangsa itu adalah satu peluang unik dalan institusi pendidikan.

“Kami melihat ini sebagai peluang unik dalam membawa intipati pendidikan seni persembahan khusus dari Korea Selatan ke Singapura dan Asia Tenggara.

“Ini akan mempamerkan nilai luar biasa pendidikan berfokuskan industri dan memberikan dorongan untuk memacu industri ke hadapan di peringkat serantau,” katanya.

Untuk rekod, Sopa ditubuhkan pada tahun 1966 sebagai Sekolah Tinggi Jeonghui dan menukar namanya kepada yang sekarang pada tahun 2009.

Ramai artis terkemuka Korea yang merupakan bekas pelajar Sopa seperti Jungkook (BTS), Jisoo (Blackpink), Kai (EXO),Joy (Red Velvet) dan banyak lagi.

Manakala SRMC pula diasaskan pada 2001 dan sebelum ini telah bekerjasama dengan Kolej Muzik London University of West London untuk menawarkan program ijazah muzik dan tarian.

Menurut laman web SRMC, ia adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi di Singapura dengan tumpuan penuh pada muzik dan tarian.

Author

Pilihan Editor