SEORANG wanita berdepan dengan detik cemas apabila diganggu seorang lelaki dipercayai kurang siuman pada Jumaat.
Menerusi video tular, lelaki berbaju hitam itu dilihat dalam keadaan meniarap di atas lantai, manakala wanita tersebut cuba bergelut melepaskan diri daripada cengkamannya.
Ketika kejadian, wanita itu meraung meminta tolong sebelum beberapa individu yang berada di lokasi kejadian membantu melepaskan mangsa.
Kira-kira lima orang lelaki menarik si pelaku daripada terus mengasari wanita itu, dengan sebahagian daripada mereka bertindak menumbuk dan menarik kakinya.
Selepas pergelutan selama beberapa minit, wanita tersebut berjaya meloloskan diri dan berlari di tempat lain.
Pada masa sama, si pelaku dilihat beredar dengan mengambil sepasang kasut dan sebuah lagi objek di atas lantai tanpa menghiraukan orang sekeliling.
Kejadian tersebut berlaku di kawasan menunggu stesen transit aliran ringan LRT Maluri, Cheras, Kuala Lumpur.
Dalam video berasingan, lelaki itu yang berada di laluan landasan tren dilihat mengetuk badan kereta api dengan kasut berulang kali, ketika kenderaan itu sedang bergerak laju.
Aksi lelaki itu dilihat sebagai membahayakan dirinya sendiri kerana dikhuatiri akan berdepan dengan kemalangan termasuk dilanggar kereta api.
Sedang viral…..kejadian di stesyen LRT Maluri… kejadian didakwa berlaku 8 pagi semalam (28 Julai) pic.twitter.com/Da3c3Oj24I
— MYNEWSHUB (@mynewshub) July 29, 2023
Sementara itu, Rapid KL memaklumkan sedang berusaha mengesan lelaki tersebut dengan bantuan pihak polis.
Dalam satu kenyataan, Rapid Kl berkata, lelaki yang disyaki mengalami masalah gangguan mental itu bertindak agresif menceroboh trek LRT dari platform 1 ke platform 2, sebelum cuba mencabul salah seorang penumpang wanita di stesen tersebut.
“Ketika kejadian, anggota polis bantuan yang sedang bertugas di platform bertentangan bergegas turun ke bawah untuk ke platform tempat kejadian bagi memberikan bantuan kepada mangsa yang sedang bergelut dengan suspek.
“Orang awam yang melihat kejadian berjaya membantu meleraikan mangsa daripada suspek, tetapi tidak berjaya diberkas kerana bertindak agresif,” katanya.
Rapid KL berkata, suspek sekali lagi bertindak menceroboh landasan dan mengetuk dinding tren yang kebetulan sedang berhenti di stesen.
“Suspek meloloskan diri dari stesen pada pukul 8.05 pagi. Mangsa dan saksi dibawa anggota polis ke balai polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambah Rapid KL, pihaknya kesal dengan kejadian itu dan bertindak menambah anggota polis bantuan di stesen-stesen LRT untuk meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan perkara sama berulang.