KEPALA BATAS: Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang membuat kunjungan dan menyantuni ahli keluarga pendaki Gunung Everest, Muhammad Hawari Hashim, peserta Program Malaysia Everest yang dipercayai hilang di kawasan pergunungan Everest baru-baru ini.
Aaron Ago menyampaikan sumbangan kepada isteri Hawari, Safiyyah Tang Xie Lie, 34, seorang suri rumah sepenuh masa dan juga Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.
“Inisiatif seumpama ini akan diteruskan selaras dengan tanggungjawab Kementerian untuk memacu agenda perpaduan nasional bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Malaysia,” katanya hari ini.
Jelas Aaron, sedikit sebanyak sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban keluarga itu setelah kehilangan ketua keluarga yang menjadi tempat sekeluarga bergantung harap.
Muhammad Hawari merupakan salah seorang pekerja Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang dan sumbangan tersebut merupakan hasil sumbangan warga muzium seluruh negara dan Persatuan Muzium Malaysia.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua pasang cahaya mata iaitu Hana Sakeena, 4, dan Haris Suffian, 2. Turut menetap di rumah yang sama ibu kepada Hawari, Che Tom Hassan, 64.
Turut hadir menyampaikan sumbangan, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Kamarul Baharin A. Kasim dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Harnyany Mohamad.