CYBERJAYA: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kesal apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus dizalimi berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu membangkitkan perkara itu apabila jawapan Kementerian Kewangan (MOF) di Parlimen menyatakan bahawa, 1MDB masih meneruskan saman sivil dan menuntut ganti rugi sebanyak AS$8 bilion daripada Najib.
Sedangkan katanya, syarikat pelaburan strategik itu mendapat semula asetnya bernilai RM41.6 bilion.
Jelas beliau, saman tersebut dimulakan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pada tahun 2020.
“Kini saman itu diteruskan juga sepertimana afidavit yang dikemukakan di mahkamah pada 23 Mei lalu.
“Tetapi hairan kenapa dana RM114 juta yang Mahkamah Tinggi putuskan dipulangkan kepada akaun Najib kerana ia milik UMNO, dimasukkan juga dalam saman ini,” soalnya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Pada 26 Mei lalu, Najib didakwa membuat pendedahan separa mengenai aset kepunyaannya dalam perbicaraan kes saman 1MDB terhadapnya.
Menurut afidavit yang difailkan oleh Pengerusi 1MDB, Johan Mahmood, Najib mengisytiharkan RM1,010,258.62 dalam akaun banknya dan jumlah itu tidak termasuk wang tunai RM114 juta yang dikembalikan oleh mahkamah terhadapnya pada 2021.
Wang sebanyak RM114 juta itu dikembalikan kepada Najib, berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk pelucuthakan wang tunai tersebut.
Afidavit Johan juga menyatakan, terdapat percanggahan antara aset diisytiharkan Najib dan aset didedahkan untuk saman berasingan dikemukakan SRC International Sdn Bhd.
Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata, pada tahun 2017, terdapat perjanjian penyelesaian 1MDB dan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) untuk mendapatkan semula dana 1MDB, manakala Najib sudah membangkitkan empat kali berhubung isu ini.
Bagaimanapun, katanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas membatalkan perjanjian itu agar naratif wang 1MDB ‘hilang’ boleh terus dieksploitasi untuk mencemarkan Najib.
“Akhirnya penyelesaian 1MDB-IPIC diteruskan. MOF umum IPIC-Aabar Investments PJS (Aabar PJS) telah bayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB. PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) anggap ia kejayaan besar.
“Tetapi kenapa Najib terus dizalimi. 1MDB di bawah MOF. Apa yang mencurigakan ada nama yang turut disaman tetapi nama mereka sudah hilang dari senarai,” tambahnya.