CYBERJAYA: Gara-gara ketagihan media sosial, pelakon Hollywood terkenal, Chris Evans memutuskan untuk menyahaktifkan akaun media sosial Twitter dan Instagram miliknya.
Chris menyatakan bahawa dia ingin berehat dari media sosial dan ingin menikmati cuti musim panas dengan sebaiknya.
“Hai semua, saya sedang menikmati cuti musim panas dan cuba untuk mengurangkan masa melayari media sosial.
“Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk berehat sebentar dari Twitter dan Instagram. Kita jumpa lagi nanti, terima kasih semuanya,” katanya seperti dilapor Clutch Points.
Bagaimanapun, pelakon filem Marvel itu menjelaskan perkara tersebut secara terperinci di Instastory miliknya dengan memuat naik semula mesej daripada bintang Rocketman iaitu taron Egerton yang turut memaklumkan akan berundur dari media sosial.
Menurut Egerton, dirinya telah kehilangan banyak waktu untuk meluangkan masa melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti membaca buku dan menonton filem.
Malah, dia sudah tidak dapat meluangkan masa bersama orang-orang tersayang disebabkan oleh kewujudan media sosial.
Kenyataan itu turut disokong oleh Chris dan memaklumkan dia akan mengikut jejak langkah Egerton yang ingin menjarakkan diri daripada penggunaan media sosial.