KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bercadang memperkenalkan Akaun 3 untuk ahlinya yang tergolong sebagai pekerja tidak formal yang membenarkan pengeluaran yang dengan syarat yang lebih flesibel.
Menariknya, akaun ketiga itu yang akan menawarkan kadar dividen lebih rendah merupakan salah satu langkah pembaharuan KWSP, bagi mengelak krisis persaraan yang besar pada masa hadapan.
Inisiatif KWSP yang lain termasuk kadar caruman yang lebih rendah untuk pekerja tidak rasmi, pilihan pengeluaran bulanan mandatori bagi mereka yang lahir pada atau selepas 2010, kempen untuk mempromosikan caruman sukarela dan lanjutan perlindungan sah KWSP kepada seluruh populasi umur pekerja.
Dengan Malaysia sebagai salah satu negara yang paling cepat menua di dunia, selain kira-kira 22.1 peratus ahli KWSP sudah kehabisan simpanan mereka pada usia 60 tahun, suatu pembaharuan diperlukan dengan kadar segera bagi memastikan pendapatan persaraan mencukupi pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein berkata, Akaun 3 berpotensi untuk diperkenalkan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Meskipun peratusan caruman masih belum ditentukan, Nurhisham berkata, kira-kira 5 peratus hingga 10 peratus daripada caruman bulanan seseorang boleh masuk ke Akaun 3.
Walaupun ia tidak akan menjejaskan sumbangan 70 peratus sedia ada ke dalam Akaun 1, beliau berkata, sumbangan ke dalam Akaun 2 akan dikurangkan.
Namun, pencarum akan mempunyai pilihan sama ada memindahkan wang simpanan mereka ke dalam akaun ketiga ke Akaun 1 atau 2, sekiranya mereka ingin mengelakkan kadar dividen yang lebih rendah.
Jelasnya, Akaun 3 diwujudkan khusus untuk membantu pekerja sektor tidak formal, yang pada masa ini tidak menikmati perlindungan simpanan persaraan yang baik.
“Semoga pendekatan ini akan dapat menangani beberapa kebimbangan aliran tunai yang dialami oleh pekerja sektor tidak formal.
“Berdasarkan maklum balas yang kami terima daripada pekerja sektor tidak formal, mereka ingin menyimpan lebih banyak (dalam KWSP) tetapi mereka memerlukan aliran tunai.
“Pendekatan ini akan membolehkan mereka menyimpan dan menikmati dividen kompaun di samping memenuhi sebarang keperluan tunai segera.
“Sebanyak 50 peratus isi rumah Malaysia tidak dapat mengumpul RM1,000 untuk menampung bantuan kecemasan. Akaun 3 berhasrat untuk menangani perkara ini,” katanya memetik laporan The Star.
Data KWSP menunjukkan bahawa daripada 11.1 juta daripada jumlah pekerja tidak formal di Malaysia dan bukan tenaga buruh, hanya 5 peratus atau 591,000 individu merupakan pencarum aktif KWSP.
Ketika ditanya sama ada Akaun 3 akan membuka peluang terhadap banjiran pengeluaran wang yang tidak perlu, Nurhisham berkata bahawa kebanyakan rakyat Malaysia adalah bijak.
Sebaik sahaja Akaun 3 diperkenalkan, KWSP bercadang untuk menamakan semula semua akaun dengan matlamat lebih baik, iaitu Akaun Persaraan, Akaun Nilai Tambah dan Akaun Fleksibel.
Pada masa sama, Nurhisham berkata bahawa, KWSP mungkin memperkenalkan kadar caruman yang lebih rendah untuk pekerja di sektor tidak formal, bagi menampung lebih ramai rakyat Malaysia bekerja.
Pada masa ini, kadar caruman pekerja ditetapkan pada 11 peratus.
“Daripada 11 peratus, kami mengambil kira hakikat bahawa kebanyakan pekerja sektor tidak formal tidak memperoleh pendapatan yang tinggi, selain mempunyai lebih banyak kebolehubahan dalam pendapatan mereka,” katanya.
Menjelang 2035, KWSP menyasarkan untuk menampung 80 peratus tenaga buruh. Pada masa ini, ia meliputi kira-kira 47 peratus daripada tenaga buruh, yang jauh di bawah purata global sebanyak 68 peratus.
Beliau juga menjelaskan bahawa, cadangan baru-baru ini untuk memperkenalkan pengeluaran bulanan mandatori untuk pesara hanya terpakai kepada pencarum yang lahir pada 2010 dan seterusnya.
Bagi ahli KWSP sedia ada, tiada perubahan diwujudkan bertujuan untuk pengeluaran sekali gus ketika usia 55 dan 60 tahun.
Pilihan pengeluaran bulanan KWSP semasa hanya terpakai kepada ahli yang secara sukarela ikut serta.
Pembayaran pertama di bawah pilihan mandatori hanya dijangka dibuat apabila ahli baharu ini bersara pada beberapa dekad akan datang.
Cadangan ini masih diperhalusi dan KWSP memberi jaminan bahawa sebarang keputusan mengenai pilihan pengeluaran bulanan mandatori hanya akan dibuat dengan pertimbangan yang teliti dan selaras dengan komitmennya untuk kepentingan masa depan ahlinya.
Menurut KWSP, mekanisme pengeluaran bulanan mandatori akan membawa Malaysia sejajar dengan amalan global yang meluas, berikutan negara kekal sebagai salah satu minoriti yang sangat kecil yang terus membenarkan pengeluaran sekali gus dan bukan pembayaran biasa.
Jelasnya lagi, untuk ahli masa depan yang lahir pada 2010 dan seterusnya, sebahagian daripada simpanan mereka akan tersedia untuk pengeluaran “sekali gus” apabila mereka mencapai umur persaraan minimum.
Jumlah baki kemudiannya akan digunakan untuk pengeluaran bulanan mandatori, sehingga jumlah tersebut habis sepenuhnya.
Sebagai contoh, jika baki jumlah RM100,000 dan KWSP memutuskan untuk menetapkan pengeluaran bulanan pada RM2,000, ahli KWSP akan mendapat bayaran bulanan selama 50 bulan.
“Ini bukan skim anuiti,” jelas Nurhisham.
Sehingga Mei 2023, KWSP mempunyai 15.9 juta ahli, di mana 8.5 juta daripadanya masih aktif.
Jumlah aset pelaburan dana persaraan bernilai RM1.01 trilion.