HomeBeritaMahkamah & JenayahLapan pengikut ajaran The Ahmadi sertai perhimpunan LGBT ditahan

Lapan pengikut ajaran The Ahmadi sertai perhimpunan LGBT ditahan

 

KUALA LUMPUR: Lapan lelaki ditahan disyaki menyertai perhimpunan mempunyai unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di hadapan pusat beli belah Sogo, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 56 tahun terbabit ditahan pada hari sama.

“Suspek yang menyertai perhimpunan mengatakan di Malaysia ini hak-hak LGBT disekat… mereka melaungkan ‘down syariah court’ sambil memegang kain rentang.

“Hasil siasatan mendapati mereka ini ahli The Ahmadi Religion of Peace and Light dan kebanyakan yang ditahan sudah menyertai kumpulan itu hampir dua tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurutnya, salah seorang suspek baru sahaja ditahan kerana mengedarkan risalah berkaitan kepercayaan mereka di sebuah masjid di sekitar Putrajaya dua minggu lalu.

Ditanya berkenaan status fahaman kumpulan itu, Mohd Shuhaily berkata, perkara itu perlu diputuskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Katanya, kesemua suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kesemua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis… siasatan masih dijalankan,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan terbabit.

Kejadian itu mendapat perhatian ramai selepas satu video berdurasi 48 saat memaparkan beberapa lelaki memegang plakad menyokong LGBT dimuat naik seorang pengguna Tik Tok semalam.

Author

Pilihan Editor