HomeBeritaLima PPR, perumahan awam terima hampir RM34 juta ganti lif

Lima PPR, perumahan awam terima hampir RM34 juta ganti lif

SEBANYAK RM33.6 juta akan disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan penggantian lif di lima Program Perumahan Rakyat (PPR) dan juga perumahan awam.

Ini melibatkan PPR Bukit Jalil, Perumahan Awam Desa Rejang, Perumahan Awam Seri Pangkor 1, Perumahan Awam Seri Pangkor 2 dan Perumahan Seri Terengganu.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada RM50 juta peruntukan khas Kerajaan Perpaduan melalui Inisiatif Belanjawan Lif Madani 2023.

Perkara tersebut diumumkan menerusi Majlis Penyerahan Peruntukan bagi Inisiatif Belanajawan Madani 2023 yang diadakan di PPR Seri Malaysia di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Khamis.

Majlis berkenaan dihadiri oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kor Ming berkata, peruntukan itu akan membantu kerja-kerja penggantian sebanyak 56 unit lif di 19 blok rumah pangsa PPR dan perumahan awam.

“Kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula tahun ini dan dijangka siap secara berperingkat sehingga tahun 2024.

“Penyelenggaraan dan penggantian lif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 9,272 orang penduduk di PPR dan perumahan awam tersebut,” katanya.

Dalam majlis sama, turut dilancarkan adalah penggantian enam unit lif di Blok A dan Blok, PPR Seri Malaysia yang melibatkan RM3.28 juta peruntukan disediakan oleh DBKL

Penggantikan dan penyelenggaran lif ini merupakan keperluan yang ditunggu-tunggu oleh penduduk, memandangkan usia lif sudah menjangkau 19 tahun.

Selain itu, KPKT melalui agensi di bawahnya iaitu Urbanice Malaysia turut melakukan transformasi ruang sedia ada di Blok B, PPR Seri Malaysia yang diberi nama sebagai Ruang Komuniti atau Community Corner.

Berkonsepkan ‘Social Integration at Common Space’, ruang tersebut diwujudkan untuk mencetuskan aktiviti sosial yang baik, selamat serta memberi peluang kepada penduduk yang berbeza latar belakang, kumpulan umur dan kaum untuk membina hubungan komuniti yang sihat dan kukuh.

Ia juga merupakan salah satu usaha berterusan dalam menggalakkan integrasi sosial secara inklusif di kawasan umum terutamanya di Perumahan Awam dan PPR.

Turut hadir dalam majlis sama adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Jayaselan; pegawai-pegawai kanan kerajaan Persekutuan dan DBKL serta Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seri Malaysia.

 

Author

Pilihan Editor