KENYATAAN Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dihujani pelbagai kecaman.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dilapor meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu siri ceramah.
Tidak berdiam diri, Amirudin dilapor berkata, kenyataan Muhammad Sanusi itu menggambarkan sikap sebenar pemimpin terbabit yang kononnya memperjuangkan isu Melayu.
Katanya, sikap ‘bermuka-muka pemimpin itu membuktikan beliau tidak menghormati institusi raja Melayu yang menjadi lambang perpaduan masyarakat di negara ini.
Bukan itu sahaja, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor turut dijangka membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi Md Nor pada Khamis berhubung kenyataan tersebut.
Turut mengulas, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan Muhammad Sanusi itu seolah-olah ‘tahu semua perkara’ dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan beliau.
“Ada perkara yang saya tidak boleh terima apabila beliau buat. Sebelum ini, sudah diingatkan jangan sentuh isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
“Majlis Raja-Raja sudah bertitah… Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah sebut… Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) sudah ingatkan.
“Baru-baru ini beliau perlekehkan Sultan Selangor dengan cara mengejek. Itu biadab dan derhaka. Itulah politik Perikatan Nasional (PN),” katanya memetik laporan Berita Harian.
Fahmi turut mengingatkan Muhammad Sanusi supaya menanggung segala perbuatan yang telah beliau lakukan.
“Saya tak nak cakap lebih dari itu. Tetapi, selepas peringatan dibuat… berani buat berani tanggung,” katanya.