JASIN: Tular video di TikTok sekumpulan penunggang motosikal wanita dengan ceria dan bangganya menunjukkan saman yang mereka terima dari polis trafik.
Video yang tular sejak Selasa lalu menunjukkan mereka tertawa riang menunjukkan sekurng-kurangnya tiga notis saman diterima masing-masing.
Video berdurasi 22 saat itu dipercayai dirakam di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kumpulan wanita itu sebahagian daripada penunggang motosikal yang diperiksa dan dikenakan tindakan dalam Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Katanya, operasi itu dijalankan bermula 8 pagi hingga 6 petang susulan maklumat diterima mengenai konvoi motosikal bakal memasuki daerah ini pada Ahad lalu.
“Hasilnya 155 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang mana turut membabitkan kumpulan penunggang wanita itu,” katanya.
Ahmad Jamil berkata, saman paling tinggi membabitkan nombor plat, diikuti tiada cermin sisi, ubah suai dan aksesori tidak sempurna.