HomeHiburanPekin reda GR Yaris Kansai miliknya 'lunyai' dipandu rakan

Pekin reda GR Yaris Kansai miliknya ‘lunyai’ dipandu rakan

CYBERJAYA: Meskipun terkilan, pelakon, Pekin Ibrahim, 41, reda apabila kereta GR Yaris Kansai D1 Edition miliknya yang baru sahaja sampai dari Jepun hancur selepas terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.

Menerusi hantaran video di TikTok, Pekin menjelaskan bahawa semasa insiden itu berlaku, kereta tersebut dipandu oleh seorang rakannya dikenali Amirul.

“Saya nak bagitau yang bukan saya yang bawa GR tu, yang bawa ialah kawan saya, Amirul nama dia.

“Tiga orang masa kejadian, Abang Arif yang duduk di sebelah pemandu, Faiz duduk di belakang. Tiga-tiga diselamatkan, Alhamdulillah,” katanya.

Walaupun terkilan dengan insiden yang berlaku sekelip mata, Pekin meminta semua pihak untuk berhenti membuat spekulasi negatif mengatakan mereka yang terbabit dalam kemalangan meninggal dunia gara-gara menyertai perlumbaan.

Pekin turut memaklumkan bahawa dia akan menyelesaikan perkara berkenaan insiden itu selepas rakan-rakannya sembuh dari kecederaan yang dialami.

Dalam pada itu, pelakon filem ‘Volkswagen Kuning’ turut menitipkan pesanan buat warga net supaya berhati-hati di jalan raya.

“Untuk korang, berhati-hati di jalan raya, bawa kereta member hati-hatilah, itu sahaja yang boleh cakap,” ujarnya.

Difahamkan, kereta jenis GR Yaris Kansai D1 Edition milik Pekin itu mendapat sentuhan istimewa oleh pemilik Kansai Service di Jepun dan baru sahaja tiba di Malaysia lebih kurang seminggu lalu.

Author

Pilihan Editor