HomeBeritaPelajar sekolah sukan ditendang, dipijak senior

Pelajar sekolah sukan ditendang, dipijak senior

CYBERJAYA: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Gunung Rapat, Ipoh, dilaporkan mengalami kecederaan dipercayai dibuli seorang pelajar lelaki senior Tingkatan Lima, pada Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, satu laporan polis telah dibuat penjaga mangsa di Kuala Lumpur pada hari kejadian.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih menunggu laporan lanjut daripada Jabatan Kesihatan bagi mengenal pasti tahap kecederaan yang dialami mangsa.

“Saya difahamkan pihak penjaga telah membawa mangsa pulang ke rumah bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut dan diberi cuti atas faktor keselamatan.

“Selain itu saya juga difahamkan dalam kejadian berkenaan, mangsa telah ditendang dan dipijak (oleh pelajar senior), dan kedua-dua mereka ini merupakan atlet sepak takraw,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Rabu.

Dalam pada itu, Khairudin menyatakan pihaknya juga masih menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa dan pihak sekolah bagi tindakan lanjut terhadap pelajar yang memukul mangsa.

Beliau juga yakin pihak pengurusan sekolah telah mengambil tindakan awal dan susulan sebagai usaha mencegah kejadian sama daripada berulang.

“Pihak sekolah telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk menyelesaikan atau menyiasat kes ini.

“Saya difahamkan pihak sekolah pun telah pun mendapat laporan penuh daripada mangsa dan juga pelaku. Dan kita tunggu laporan penuh itu untuk kita memastikan kronologi kejadian buli itu,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor