KLUANG: Gara-gara mengelak daripada melanggar sebuah kereta, sebuah lori membawa air batu terbabas lalu melanggar tiang elektrik dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kancil.
Akibatnya, pemandu kereta Perodua Kancil maut, manakala pemandu lori patah kaki kiri serta mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dalam kejadian di Kilometer 58.5, Jalan Batu Pahat-Mersing, kira-kira pukul 3 petang tadi ketika hujan lebat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, ketika kejadian pemandu lori, Mohamad Amirul Rameli, 27, datang dari arah bandar Kluang, manakala Mohd. Maznizam Mohd. Amin, 51, menaiki Perodua Kancil dari arah bertentangan.
“Mohd. Maznizam mengalami kecederaan dalaman badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang datang selepas menerima panggilan memaklumkan kemalangan tersebut.
“Mohamad Amirul yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan serta patah kaki kiri diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik Balai Bomba dan Penyelamat Kluang sebelum kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Mohd. Nor berkata, lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.
“Pemandu kereta tersebut tersepit di tempat duduk pemandu dan pihak bomba mengeluarkannya menggunakan peralatan khas sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Pemandu lori pula diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital dan operasi tamat pada pukul 3.34 petang.