CYBERJAYA: Jabatan Perangkaan memaklumkan bahawa, bilangan penggangguran mencatatkan penurunan pada Mei 2023.
Dalam satu kenyataan jabatan itu berkata, angka pada Mei merekodkan 584,600 orang dengan kadar pengangguran 3.5 peratus, berbanding 586,900 orang pada April.
Menurut jabatan itu, pada bulan Mei, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif yang merangkumi 80.5 peratus daripada jumlah penganggur seramai 470,400 orang.
“Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 60.9 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 6.7 peratus.
“Pada masa yang sama, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif menurun sebanyak 0.8 peratus untuk merekodkan 114,200 orang (April 2023: 115,100 orang),” katanya.
Pada masa sama, Jabatan Perangkaan turut memaklumkan bahawa, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun dicatat menurun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 11 peratus dengan jumlah seramai 313,000 penganggur belia (April 2023: 11.1 peratus, 315,600 orang).
Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun pula meningkat sebanyak 0.3 mata peratus kepada tujuh peratus, dengan 448,600 penganggur belia (April 2023: 6.7 peratus, 441,000 orang).