CYBERJAYA: Pelakon dan pelawak, Bell Ngasri meluahkan rasa terharu apabila mendapat sokongan pelbagai pihak selepas dirinya tercalon buat pertama kali dalam top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35).
Bell Ngasri, 43, menerusi perkongsian di Facebook berkata, dia langsung tidak menyangka ramai dalam kalangan peminat dan selebriti sanggup menyokong dengan membuat hebahan agar orang ramai mengundinya sebagai pemenang kategori Artis Komedi Popular.
“Saya tak sangka dapat sokongan sebegini rupa, dari negeri yang bukan asal saya pon ada, kawan-kawan artis yang lebih hebat, lebih popular pon ada. Persatuan itu, persatuan ini. Thank you sangat-sangat,” katanya.
Lebih menarik perhatian Bell, apabila Persatuan Ibu-Ibu Comel Mengandung di Facebook turut tidak melepaskan peluang berkempen dan meminta ahli kumpulannya untuk mengundi.
“Tapi yang tak tahan yang last tu, persatuan ibu mengandung pon ada. Terus saya terbayang masa ibu-ibu mengandung tu tengah on the way nak beranak pon masih mengundi. Lepas tu anak baru lahir tu pon mengundi jugak,” selorohnya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen berpendapat pelawak berkenaan sepatutnya berjaya meraih trofi bagi Anugerah Artis Komedi Popular kerana menghiburkan netizen dari kecil lagi.
“Semoga dapat Anugerah Artis Paling Popular tahun ini. Terima kasih menghiburkan kami sejak dari kecil,” komen netizen.
“Bell memang layak dapat anugerah, seorang pelakon yang serba boleh, dari kecil dia berlakon sampai sekarang tak pernah jemu tengok. Bawa la watak apa pon semua menjadi,” kongsi netizen.
“First time mengundi ABPBH selama hayat sebab nak undi Barkoba, 20 undian untuk anda semoga dipermudahkan urusan. Good luck,” tulis netizen.