CYBERJAYA: Pengerusi Proklamasi Orang Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru masyarakat khususnya kaum Melayu agar memberi sokongan kepada semua calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Katanya, hanya sokongan tidak berbelah bahagi sahaja mampu memenangkan calon-calon PN pada PRN nanti.
“Dalam pilihan raya negeri ini kita perlu ketepikan pasal parti kerana ini adalah masalah orang Melayu, tidak guna parti menang tetapi orang Melayu kalah.
“Sebab itu kita mesti tentukan calon ini disokong, sama ada kita suka atau tidak suka calon yang dipilih itu.
“Pada PRN ini, Proklamasi Orang Melayu tidak boleh bertanding kerana kita tidak didaftar, jadi sebab itu kita akan guna Perikatan Nasional,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Beliau berkata demikian pada sesi Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, i-City Central Walk pada Selasa.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menuduh beliau tetapi enggan mendedahkan bukti apabila diminta.
Tegasnya, Ahli Parlimen Tambun itu perlu menunjukkan bukti-bukti kukuh dan bawa pada perbicaraan di mahkamah sekiranya ingin mendakwa beliau mencuri wang atau harta daripada rakyat.
“Dia kata dia ada bukti berkotak-kotak, tulisan-tulisan bukti pun ada. (Anwar kata) akan tunjuk tetapi bila saya minta tunjuk dia kata tidak boleh, rahsia.
“Kalau awak ada (bukti) tunjuk la pada saya. Tunjuk (bukti) saya curi duit sebab kita tahu ada orang curi duit, dihadap ke mahkamah, dibicara dan dimasukkan di dalam penjara.
“Kalau saya curi duit, tunjuk (bukti) secara terang yang saya curi duit, boleh bawa saya pergi mahkamah adakan perbicaraan,” katanya.