DAP memutuskan untuk tidak mencalonkan Timbalan Ketua Menteri, Dr P Ramasamy sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bulan depan.
Ini sekali gus menjadikan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu gagal untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).
Bahkan, ahli politik kontroversi itu akan menamatkan khidmatnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai selama tiga penggal, selepas mula menyandang kerusi itu sejak 2008 pada PRU12.
Nama beliau sebaliknya digantikan oleh Sundarajoo a/l Somu yang bakal bertanding di DUN Perai.
Keputusan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika majlis pengumuman calon DAP PRN Pulau Pinang pada Selasa.
Pada PRU14, Ramasamy menang dengan majoriti 9,049 undi dalam pertembungan enam penjuru, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Barisan Pulau Pinang (PFP), Parti Alternatif Rakyat (PAP) dan Bebas.
Media sebelum ini melaporkan, Ramasamy menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.
Katanya, perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.
Sementara itu, Ramasamy mendakwa, beberapa penerbitan memutar belit hantaran Facebook (FB) peribadinya, yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara.