HomeBeritaRemaja cekik adik hingga maut di Melaka pernah dibuli - Bapa

Remaja cekik adik hingga maut di Melaka pernah dibuli – Bapa

 

REMAJA 14 tahun yang dipercayai mencekik adiknya sehingga mati di Kampung Bukit Piatu, Melaka pada tengah hari Rabu dikatakan mengalami trauma akibat dibuli.

Bapa remaja tersebut memaklumkan, anak sulungnya itu juga mula meracau sejak beberapa bulan lalu.

Najli Yakob, 42, mendakwa, anaknya itu dibuli sejak Tingkatan Satu tetapi hanya mendiamkan diri sehinggalah berlarutan ke tahun ini dan semakin teruk sebelum mula mengadu kepadanya dan isteri.

“Dia kerap menelefon ibunya mengadu tetapi awalnya saya sangkakan keadaan biasa budak asrama sehinggalah terdapat kesan kecederaan, kami kemudian mengadu kepada sekolah serta membuat laporan polis.

“Dia mengadu dengan memberitahu dibuli oleh dua rakan senior termasuk dicekik ketika tidur, disimbah air dan juga ditendang selain dipukul,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Haziq Damiri Najli, 9, yang merupakan anak ketiga dari empat beradik maut di lokasi dengan kesan kecederaan di muka, hidung dan leher.

IBU BAPA PERNAH DICEKIK

Tambah Najli, dia dan isterinya turut pernah dicekik beberapa kali sebelum ini, dan telah membawa remaja berkenaan menjalani rawatan kesihatan diperlukan termasuk kaedah perubatan Islam.

Najli berkata, sikap suspek mula berubah selepas mendakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah Arab di Alor Gajah sejak tahun lalu, manakala perkara itu telahpun dilaporkan kepada pihak sekolah serta laporan polis dibuat.

“Pernah saya ambil dia dari sekolah dan setelah beberapa jam berada di rumah dia seperti naik gila apabila tiba-tiba melaungkan zikir Subhanallah dengan kuat berulang kali dalam keadaan mata terbeliak.

“Kemudian dia terkam dan cekik saya, memang umurnya 14 tahun tetapi tenaga dia seperti orang dewasa, isteri saya pun ada beritahu pernah dicekik di dapur dan memang susah nak lepas katanya, mujur adik-adiknya datang.

“Kita ni orang tua, kalau dia cekik kita masih boleh melawan tetapi budak memang susah, saya tengok rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memang dia (Muhammad Haziq) tak boleh (melawan), kejadian berlaku dalam tiga minit,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Haziq Damiri Najli, 9, yang merupakan anak ketiga dari empat beradik maut di lokasi dengan kesan kecederaan di muka, hidung dan leher.

Najli berkata, ketika kejadian dia di Terengganu atas urusan kerja manakala isterinya yang bertugas sebagai jururawat juga sedang bekerja.

Katanya, bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku mereka memantau pergerakan dua beradik itu melalui televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipantau menerusi telefon bimbit.

“Sebelum kejadian saya ada menelefon sama ada sudah makan atau belum, dia masih seperti biasa dan memberitahu sudah makan.

“Tidak sangka apa yang kami bimbangkan berlaku apabila menerusi rakaman CCTV melihat dia tiba-tiba mencekik adiknya yang ketika itu berada di sofa,” katanya.

Susulan kejadian itu, remaja 14 tahun berkenaan ditahan polis dan dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada pukul 10 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi media tempatan berkata, siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita masih menyiasat motif suspek melakukan perbuatan itu,” katanya.

Author

Pilihan Editor