HomeGlobalRemaja hilang tangan ketika cuba alih bom di sekolah

Remaja hilang tangan ketika cuba alih bom di sekolah

BANGKOK: Niat seorang remaja berusia 14 tahun mengalih bom dari kawasan sekolahnya berakhir dengan tragis apabila bom itu meletup sekali gus mengakibatkan dia hilang sebahagian tangan.

Kejadian itu berlaku ketika sekumpulan pelajar sekolah sedang bermain bola sepak dan seorang daripada mereka menyedari sebuah objek yang kelihatan seperti bom di padang di wilayah Chaiyaphum, lapor The Thaiger.

Pelajar itu meminta bantuan mangsa yang pada ketika itu sedang bermain sepak takraw, untuk mengalihkan bom tersebut.

“Mangsa memutuskan untuk menyerahkan bom itu kepada ketua komuniti namun sempat bermain sebelum terjatuh dan akhirnya menyebabkan bom itu meletup.

“Letupan itu menyebabkan sebahagian tangannya cedera dan terpaksa dikejarkan ke hospital,” jelas laporan sama.

Pasukan penyelamat yang membawa mangsa ke hospital mendakwa bom tersebut berkemungkinan dihasilkan oleh sekumpulan remaja dari komuniti berlainan.

Malah, seorang penyelamat mendakwa pernah melihat sekumpulan remaja menaiki motosikal melawat padang itu beberapa malam sebelum kejadian.

Pada masa sama, penduduk turut mendakwa mendengar beberapa letupan pada malam itu.

Insiden itu meningkatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan pelajar susulan beberapa kejadian seperti letupan gas silinder di sebuah sekolah di Bangkok, bulan lalu.

Author

Pilihan Editor