HomeTeknologiRobot jadi konduktor, kendalikan orkestra di Korea Selatan

Robot jadi konduktor, kendalikan orkestra di Korea Selatan

 

SEBUAH robot, EveR 6, telah memulakan kerjaya sebagai konduktor orkestra di Korea Selatan, mencontohi kejayaan beberapa pendahulu di tempat lain di seluruh dunia.

Pembina EveR 6 berkata, mereka merancang untuk membolehkan mesin itu membuat improvisasi berbanding sekadar meniru apa yang telah dipelajarinya.

Jumaat lalu, EveR 6 mengendalikan persembahan lebih 60 pemuzik Orkestra Kebangsaan Korea di hadapan hampir 1,000 penonton.

Robot Android itu mampu berfungsi secara bebas dan kolektif dengan rakan sekerja manusia.

Persembahan pada Jumaat mencatatkan sejarah pertama kali robot digunakan sebagai konduktor di Korea Selatan. Walau bagaimanapun, beberapa model lain telah melakukannya di tempat lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dibangunkan oleh Institut Teknologi Perindustrian Korea Selatan, android diprogramkan untuk menghafal dan meniru pergerakan konduktor manusia dengan bantuan teknologi tangkapan gerakan.

Walaupun pada masa ini EveR 6 ‘pekak’ dan tidak boleh membuat improvisasi, penciptanya telah mendedahkan bahawa mereka sedang berusaha untuk menambah ciri-ciri tersebut.

Song Joo-ho, seorang kolumnis muzik yang menghadiri persembahan itu, dipetik oleh media berkata bahawa gerak isyarat yang tidak diprogramkan dan tindak balas terhadap kemungkinan kesilapan oleh pemuzik akan membentuk langkah besar seterusnya untuk teknologi itu.

Bercakap semasa sidang akhbar selepas salah satu latihan EveR 6 lewat bulan lalu, salah seorang individu di belakang projek itu, Lee Dong-wook, menyatakan harapan bahawa pada masa depan robot itu akan mencapai tahap “di mana konduktor boleh menggunakannya sebagai alat bantu untuk meminta rentak tertentu.”

Konduktor Soo-Yeoul Choi, yang berlatih dengan android, telah memberitahu media bahawa dia membayangkan senario di mana robot tersebut boleh digunakan sebagai pembantu pada masa hadapan.

Beliau bagaimana pun berkata, pada pendapatnya, mesin tidak mungkin menggantikan konduktor manusia.

Author

Pilihan Editor